Bab 9 :Demokrasi Berparlimen


Sistem berparlimen
Sistem berparlimen merupakan sejenis sistem kerajaan yang mana para menteri cabang eksekutif dipilih dari cabang perundangan dan bertanggungjawab kepada badan perundangan, sehingga terjalinnya cabang-cabang eksekutif dan perundangan. Dalam sistem sebegini, ketua kerajaan memegang peranan ketua eksekutif dan ketua perundangan de facto.
Sistem berparlimen dicirikan dengan tiadanya pengasingan kuasa yang ketara antara cabang eksekutif dan perundangan, maka mengamalkan resam sekatan dan imbangan yang berbeza berbanding dengan sistem berpresiden. Sistem berparlimen biasanya jelas membezakan ketua kerajaan dan ketua negara, iaitu ketua kerajaan sebagai perdana menteri, dan ketua negara pula sebagai boneka, tidak kira presiden (yang diundi oleh rakyat atau dilantik oleh parlimen) ataupun raja turun-temurun (raja berperlembagaan).
Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan. Malaysia diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat selama lima tahun sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.
Sistem ini adalah berdasarkan sistem Westminster kerana Malaysia merupakan bekas tanah jajahan British. Kuasa eksekutif ditetapkan oleh kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Berdasarkan perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat, yang pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam parlimen. Manakala kabinet merupakan ahli parlimen yang dipilih daripada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Malaysia mengamal sistem parlimen dwidewan: Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dewan Negara mempunyai 70 orang yang terpilih selama 3 tahun. Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua: 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri. 44 ahli lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.
Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama 5 tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.